banjirhujan

Saban tahun, kita sering menonton di kaca televisyen, mendengar di radio mahupun membaca di laman web mengenai beberapa kawasan di negara ini pasti dilanda banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh.
Pada masa sama, sudah menjadi lumrah kebanyakan daripada kita akan mengambil cuti panjang dan melancong bersama keluarga ataupun rakan, tidak terkecuali ke kawasan berpotensi banjir.
Umum mengetahui banjir akan menyebabkan beberapa gangguan perkhidmatan termasuk kerosakan infrastruktur.
Banjir juga membawa risiko kepada penyebaran penyakit.
 
Lantaran itu, komitmen dalam mengatur langkah keselamatan pada peringkat persediaan amatlah penting bagi memastikan bahawa sumber-sumber yang diperlukan ada sewaktu diperlukan.
Berikut adalah antara langkah yang disediakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai persiapan menghadapi banjir, apa yang perlu dilakukan ketika banjir dan apakah tindakan yang perlu diambil selepas banjir berlaku di sekitar kawasan anda:
PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
Di rumah
  • Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.
  • Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
  • Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
  • Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
  • Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
  • Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
Jika ingin melancong ke kawasan berpotensi banjir
  • Bagi yang mempunyai bayi, bawa kelengkapan bayi supaya mudah diuruskan ketika banjir berlaku.
  • Simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.
  • Pesakit kronik perlu bawa bekalan ubatan mencukupi selain pemantauan jadual rawatan kerana dikhuatiri berdepan masalah ketika berada dalam keadaan banjir.
  • Selalu dapatkan maklumat mengenai taburan hujan seperti akses kepada laman web Jabatan Meteorologi, Portal Bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

 

 

SEMASA BANJIR
Ketika mendapat tanda-tanda awal banjir
  • Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
  • Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
  • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
  • Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
  • Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.
Semasa pemindahan
  • Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
  • Ikut laluan yang ditentukan, laluan dekat mungkin terhalang.
Di dalam kenderaan
  • Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
  • Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat
Di dalam rumah
  • Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
  • Bersedia dengan peralatan kecemasan.
  • Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.
Di luar rumah
  • Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
  • Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
  • Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
  • Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
  • Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
  • Jangan minum air banjir.

 

SELEPAS BANJIR
  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
  • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
  • Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.
  • Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tidak terduga dan tersembunyi.
Semasa memasuki bangunan
  • Pakai kasut.
  • Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
  • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
  • Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.
  • Periksa ancaman bahaya
  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
  • Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
  • Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
  • Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
  • Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
  • Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.
 
 
 
 

Kalendar

December 2024
S M T W T F S
1 2 3 4 5 6 7
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31